PENDAHULUAN

Kurikulum Standard Pendidikan Islam Sekolah Rendah dibina bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam. Pendidikan Islam sekolah rendah memberikan penekanan kepada ilmu, nilai dan kemahiran asas syariah yang perlu dikuasai oleh setiap murid Islam.
Kurikulum ini merangkumi tujuh modul iaitu al-Quran, Hadis, Akidah, Ibadah, Sirah, Adab, dan Jawi. Proses pembelajaran dan pengajaran hendaklah diolah dan disampaikan dengan berkesan melalui pelbagai kaedah dan teknik yang lebih menarik dan sentiasa dikaitkan dengan pelbagai aspek ilmu dan amalan yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan. Elemen merentas kurikulum juga diterapkan bagi melahirkan generasi yang mampu mendepani cabaran abad 21. Penilaian dan pentaksiran yang bersifat holistik dan autentik juga dijalankan secara berterusan bagi memastikan keberkesanan pembelajaran dan pengajaran.
Kurikulum Standard Pendidikan Islam Sekolah Rendah diharapkan mampu membentuk murid-murid yang berilmu, beriman, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab, beramal soleh, dan bertakwa. Ia juga berupaya membentuk modal insan yang bercita-cita tinggi, berdaya tahan, bersemangat juang, gigih berusaha dan mampu mengubah diri untuk menyumbang kepada tamadun bangsa dan negara

OBJEKTIF

Murid yang mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Islam
berkebolehan:
i. Membaca surah-surah terpilih daripada al-Quran dengan betul dan bertajwid serta mengamalkan pembacaannya dalam kehidupan seharian;
ii. Menghafaz surah-surah terpilih daripada al-Quran untuk bacaan dalam solat dan ibadat harian;
iii. Memahami maksud beberapa surah terpilih untuk diamalkan dan dihayati pengajarannya;
iv. Membaca dan memahami hadis-hadis terpilih untuk diamalkan dan dihayati pengajarannya;
v. Memahami dan meyakini asas-asas akidah sebagai pegangan dan benteng dalam kehidupan beragama;
vi. Memahami dan mengamalkan asas ibadat sebagai memenuhi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah;
vii. Memahami dan mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah s.a.w. bagi menanam rasa kecintaan kepada baginda;
viii. Memahami, mengamalkan dan menghayati nilai-nilai akhlak dalam kehidupan seharian; dan
ix. Membaca dan menulis jawi serta mencintainya sebagai warisan budaya bangsa.